SEKAPUR SIREH DARIPADA GURU BESAR
EN.AMIR HAMZAH BIN HJ.SALLEH

Al hamdulillah syukur kepada Allah kerana kita berjaya mewujudkan sebuah laman web yang boleh berfungsi sebagai satu media yang boleh menghubungkan warga sekolah dengan masyarakat sekitar terutama ibu bapa murid-murid, kaki tangan PPD daerah, JPNNS, sekolah-sekolah di sekitar dan masyarakat awam di negara ini.

Sesungguhnya kita sedar bahawa kita tidak boleh tertinggal daripada arus semasa di mana tren media massa begitu meluas ketika ini terutamanya media internet. Lebih separuh keluarga di negara ini sudah memiliki komputer yang mempunyai sambungan internet di rumah . Begitu juga penggunaan telefon bimbit berinternet bagi rakyat Malaysia sekarang adalah antara yang tertingi di Asia.

Menyedari situasi ini maka kita mengambil kesempatan ini untuk memanfaatkan peluang ini bagi merapatkan lagi hubungan kita dengan masyarakat sekeliling, terutamanya ibu bapa yang mana boleh mengakses maklumat-maklumat terkini di sekolah tanpa perlu terlalu kerap datang ke sekolah, tetapi cukup sekadar menekan jari di keyboard komputer masing-masing di rumah atau menggunakan telefon bimbit(smartphone) mereka sahaja.

Pihak sekolah berusaha untuk melengkapkan sebaik mungkin maklumat-maklumat semasa berkaitan sekolah di blog ini. Dan kami memberi peluang kepada ibu bapa khususnya dan masyarakat sekitar amnya untuk menghubungi kami serta mengemukakan sebarang pertanyaan serta memberi komen yang membina untuk kebaikan kita bersama.

Kami berharap usaha ini akan memberi natijah yang baik kepada warga sekolah terutamanya anak-anak didik kita untuk terus berkembang maju dan berdiri seiring dengan warga sekolah yang lain yang lebih maju di negara ini.